CABARAN DALAM MENINGKATKAN SOSIOEKONOMI BELIA ORANG ASLI SEMAI DI PAHANG, MALAYSIA

Penulis

  • Suhazlina Mohamed Samsudin Penulis
  • Mohd Roslan Rosnon Department of Social and Development Sciences, Faculty of Human Ecology, Universiti Putra Malaysia, Serdang Penulis
  • Mohd Zulhafiz Said Department of Social and Development Sciences, Faculty of Human Ecology, Universiti Putra Malaysia, Serdang Penulis
  • Muhammad Afiq Abdul Razak Department of Social and Development Sciences, Faculty of Human Ecology, Universiti Putra Malaysia, Serdang Penulis

Kata Kunci:

Orang Asli, Semai, sosioekonomi, pembangunan komuniti, belia

Abstrak

Komuniti Orang Asli di Pahang, Malaysia, merupakan kumpulan etnik minoriti yang kaya dengan warisan budaya namun masih berdepan pelbagai cabaran dalam pembangunan sosioekonomi. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis faktor-faktor yang menghalang kemajuan sosioekonomi belia Orang Asli meliputi pendidikan, akses kepada perkhidmatan kesihatan, peluang pekerjaan, hak milik tanah, serta diskriminasi sosial dan ekonomi. Pendekatan kualitatif melalui temu bual dan pemerhatian lapangan digunakan bagi pengumpulan data untuk mendapatkan perspektif mendalam daripada belia yang terlibat. Seramai 15 orang belia ditemu bual dan terlibat dalam kajian ini bagi mendapatkan data tepu. Hasil kajian menunjukkan bahawa cabaran utama yang dihadapi oleh belia Orang Asli Semai termasuk kadar keciciran sekolah yang tinggi disebabkan faktor kemiskinan keluarga, kekurangan sokongan akademik, dan jarak geografi ke institusi pendidikan. Selain itu, akses kepada perkhidmatan kesihatan asas masih terhad, terutama di kawasan pedalaman, yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental mereka. Dari segi peluang pekerjaan, majoriti responden menyatakan mereka sukar memperoleh pekerjaan yang stabil dan setara dengan kelayakan disebabkan tahap pendidikan yang rendah serta kurang pendedahan kepada latihan kemahiran. Isu hak milik tanah turut dikenal pasti sebagai cabaran kritikal apabila status tanah adat yang tidak diiktiraf sepenuhnya menyukarkan komuniti untuk memanfaatkan sumber semula jadi secara lestari. Diskriminasi sosial dan ekonomi yang berterusan juga menjejaskan keyakinan diri belia dalam berinteraksi dengan masyarakat luar dan mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka. Sebagai kesimpulan, kajian ini mendapati bahawa cabaran pembangunan sosioekonomi belia Orang Asli Semai adalah bersifat kompleks dan saling berkait antara faktor struktural, ekonomi dan budaya. Implikasi kajian ini menunjukkan keperluan mendesak bagi dasar yang lebih inklusif dan bersepadu, termasuk pengiktirafan hak tanah adat, peningkatan akses pendidikan berkualiti, penyediaan program latihan vokasional yang relevan, serta kempen kesedaran masyarakat untuk mengurangkan diskriminasi. Intervensi yang komprehensif dan sensitif budaya amat diperlukan bagi memastikan belia Orang Asli Semai dapat meningkatkan taraf hidup mereka secara mampan dan setara dengan masyarakat arus perdana.

Diterbitkan

2026-04-23

Cara Mengutip

CABARAN DALAM MENINGKATKAN SOSIOEKONOMI BELIA ORANG ASLI SEMAI DI PAHANG, MALAYSIA. (2026). Prosiding Seminar Serantau Isu-Isu Komuniti (SSIK), 1(1). https://jurnal.unaya.ac.id/index.php/ssik/article/view/8220