PENILAIAN PROGRAM LATIHAN MAMACARE SEBAGAI SATU BENTUK KAEDAH PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Penulis

  • Sallehuddin Bin Ismail Penulis

Abstrak

ABSTRAK: Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) merupakan asas penting dalam pembangunan insan yang inklusif, khususnya bagi wanita dewasa di peringkat komuniti. Dalam konteks penjagaan ibu selepas bersalin, PSH membuka ruang kepada pewujudan program latihan tidak formal yang bersifat holistik terhadap keperluan sebenar masyarakat. Program MamaCare, yang dilaksanakan oleh LPPKN menjadi contoh pelaksanaan latihan komuniti yang menggabungkan elemen tradisional dan moden, sambil menawarkan laluan pensijilan yang diiktiraf secara formal dengan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4: Penjagaan Ibu Selepas Bersalin MamaCare. Kertas konsep ini bertujuan meneroka bagaimana MamaCare berfungsi sebagai medium PSH yang menyumbang kepada peningkatan kemahiran teknikal, pengukuhan identiti profesional wanita, dan pembangunan sosioekonomi komuniti.    Menggunakan kerangka teori Garrison (1997) mengenai pembelajaran sepanjang hayat, teori andragogi (Knowles, 1980), serta konsep Komuniti Amalan (Wenger, 1998), perbincangan dalam kertas ini memfokus kepada aspek kesedaran kendiri, motivasi pembelajaran, sokongan sosial, dan cabaran pelaksanaan latihan. Melalui pendekatan kajian kes dan kajian literatur, artikel ini mengupas cabaran seperti keterbatasan akses, keperluan modul yang lebih kontekstual, serta keperluan kepada kesinambungan pembelajaran selepas latihan formal. Program MamaCare ini juga boleh dikembangkan sebagai satu ekosistem PSH yang menyeluruh dengan sokongan asas yang lebih mantap dan pemantapan kurikulum reflektif. Pendekatan ini tidak hanya memperkasakan wanita sebagai penjaga pasca bersalin, tetapi juga sebagai agen transformasi komuniti. Kesimpulannya, evolusi MamaCare menunjukkan bahawa latihan kemahiran berasaskan komuniti yang dirangka berpandukan pembelajaran sepanjang hayat berupaya menjadi pemacu pembangunan mampan dan pemberdayaan sosial yang sebenar.   Kata kunci: pembelajaran sepanjang hayat, penjagaan ibu selepas bersalin, latihan komuniti, pembangunan wanita, pendidikan tidak formal.

Diterbitkan

2026-04-23

Cara Mengutip

PENILAIAN PROGRAM LATIHAN MAMACARE SEBAGAI SATU BENTUK KAEDAH PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT . (2026). Prosiding Seminar Serantau Isu-Isu Komuniti (SSIK), 1(1). https://jurnal.unaya.ac.id/index.php/ssik/article/view/8188